SEJARAH SKPR



ASAL USUL NAMA “PINTAS RAYA”

Nama “Pintas Raya” telah dicipta oleh Tuan Haji Abdullah bin Haji Ali yang merupakan pengasas sekolah ini.   Allahyarham merupakan orang berpengaruh di kawasan ini dan bekerja sebagai “Mandur” di Estet Tanjung Semberong.   Setiap hari, Allahyarham Tuan Haji Abdullah bin Haji Ali  akan membawa pekerja-pekerja dari Estet Tanjung Semberong melintasi Jalan Kluang  (di kawasan batu 11) melalui Kampung Parit Samion ke Parit Karjo.   Allahyarham telah mendapat idea dan mencadangkan nama “Sekolah Pintas Raya” mengambil sempena kejadian “melintas jalan raya”  oleh pekerja-pekerja estet tersebut setiap hari.  Cadangan allahyarham telah diterima oleh masyarakat  di sini.


BANGUNAN ASAL SK PINTAS RAYA

Pada 4hb. Julai, 1939, sebuah bangunan sekolah yang diperbuat daripada kayu telah dibina hasil gotong-royong penduduk-penduduk kampung dan pembinaan tersebut diketuai oleh Allahyarham Tuan Haji Abdullah bin Haji Ali.     Allahyarhamah Puan Hajah Fatimah binti Haji Tahir telah mewakafkan sebidang tanah seluas 2e, 4r, 4p untuk dijadikan tapak bangunan sekolah ini. 

Pada Tahun 1952 bangunan kayu tersebut telah dirobohkan dan dibina semula oleh penduduk-penduduk kampung  dengan bantuan kerajaan sebanyak $1000.00.   Pada tahun 1954 bangunan tersebut telah dibina semula oleh kerajaan dengan berlantaikan simin, beratap asbestos dan berdinding papan.



 SEKOLAH PEREMPUAN PINTAS RAYA

Pada Tahun 1955, kerajaan telah memberi bantuan sebanyak $2000.00 untuk membolehkan penduduk-penduduk kampung membina sebuah bangunan tambahan berkeluasan 60 kaki x 20 kaki di atas tapak seluas 2 ekar.   Bangunan ini diberi nama “Sekolah Perempuan Pintas Raya”.





BANGUNAN TUNKU ABDUL RAHMAN DAN RUMAH GURU


Pada Tahun 1959 sebuah bangunan tambahan  dan sebuah rumah guru telah dibina
oleh kerajaan.



Bagi memenuhi keperluan pendidikan warga kelainan upaya, maka Bangunan Tunku Abdul Rahman telah diubahsuai menjadi sebuah Kelas Pendidikan Khas Integrasi dan memulakan operasi pada Januari 2002.



BANGUNAN TUN ABDUL RAZAK


Pada tahun 1963, “Sekolah Perempuan Pintas Raya” telah dicantumkan dengan “Sekolah Lelaki Pintas Raya” .

Selepas kejadian banjir besar pada tahun 2006,  bangunan Tun Abdul Razak yang berdinding papan telah dibaik pulih dan diganti dengan dinding batu



BANGUNAN TUN HUSSEIN ONN


Pada tahun 1976, bangunan “Sekolah Perempuan Pintas Raya” telah dirobohkan kerana keadaan yang uzur dan membahaya.   Sebagai ganti, sebuah bangunan baru telah dibina pada tahun 1978.   Bangunan bertingkat ini mengandungi 4 bilik darjah, pejabat, tandas, bilik guru dan kantin.



BANGUNAN TUN MAHATHIR

Pada tahun 1999, Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan pembinaan satu 
blok bangunan tambahan bagi menampung keperluan murid yang semakin
bertambah.   Bangunan ini mengandungi Bilik Sains, Bilik Operasi Sukan,  Bilik 
Kemahiran Hidup, Pejabat di tingkat bawah dan 6 buah bilik darjah di tingkat atas.   
Bangunan ini telah mula digunakan pada tahun 2000.





BANGUNAN TUN ABDULLAH


Memandangkan perkembangan teknologi IT  yang semakin meluas, sebuah makmal 
komputer telah diluluskan pembinaannya pada Disember 2001, bagi memberi 
kemudahan kepada murid-murid mempelajari kemahiran dan pengetahuan berkaitan 
Teknologi IT.






BANGUNAN PRA SEKOLAH


Bagi memenuhi keperluan pendidikan murid-murid di bawah umur 7 tahun, sebuah 
bangunan Pra Sekolah telah dibina pada tahun 2006.






Pada tahun 2012 bangunan Pra Sekolah Pintar telah dibina dan telah mula beroperasi pada 01.01.2013




DEWAN TERBUKA


Sebuah dewan terbuka telah dibina bersebelahan bangunan Tun Mahathir pada akhir tahun 2015 







WAKAF ILMU

Sebuah bangunan yang dinamakan sebagai Wakaf Ilmu telah dibina di antara bangunan Tunku Abdul Rahman dan bangunan Tun Hussein Onn pada akhir tahun 2015.   Bangunan tersebut dibina hasil sumbangan Dana Akhirat warga SK Pintas Raya